Tuesday, June 1, 2010

Happy Birthday Anne


Diam tak diam, puteri kesayanganku telah menginjak usianya ke dua angka. Hehehe..... sebelas tahun sudah. Tinggi lampai dan lagi seinchi kalahkan mamanya. Alhamdulillah, Allah mengurniakan aku seorang puteri yang sehat dan cerdik. Mudah-mudahan puteriku menjadi anak yang solehah, bertanggungjawab pada keluarga dan diri serta sesama insan. Diberikan kejayaan yang cemerlang didalam pelajaran ilmu dunia dan akhirat. Diberkati setiap kebaikan yang dilakukan dan diberi rezeki yg berlipat kali ganda dan melimpah ruah. Semoga anakku dirahmati Allah berbahagia kehidupannya dunia akhirat. Aminnnnnn ya Rabal Alamin.
Mama, Papa, Adik semua sayang pada Kakak Anne tau. Jangan nakal2 dan rajin2 tolong mama ya!


Tuesday, May 25, 2010

Ayam Mandhy Berempah



Inilah hidangan pada weekend yg lalu. Anak-anak suka, hubbypun suka...aku semua suka. Syukur diatas rezeki yang Allah beri selama ini. Begitu juga kudrat yg ada ni. Kalau tak ada kudrat macamana nak masak, kan..... Membuat ayam mandhy taklah payah mana. Senang dan simple jek. Rasa pun sedap. Anak-anak rasanya lupa yang mama dia pernah buat ayam ni, sebab masa buat ni masa diaorg kecik lagi. Tapi hubby memang suka sangat mandhy ni.

Ayam Mandhy Berempah Mandhy Spicy Chicken

bahan untuk memerap ayam :-
1/2 sudu kecil lada hitam
1/2 sudu kecil ketumbar
1/2 sudu kecil jintan halus
1 sudu kecil kunyit kering
(bahan diatas ini hendaklah dikisar halus)
1 biji lemon dibelah-belah
2 labu bawang besar dipotong gelang
sedikit saffron
rempah mandhy secukupnya



rempah mandhy :-

1 sudu kecil buah pala
2 sudu besar lada hitam
2 sudu besar buah pelaga
2 sudu besar bunga cengkih
1 sudu besar halia kering
4 helai daun bay (daun salam)
(Kisar semua bahan ini)
rempah diatas ini semua boleh didapati dalam bentuks erbuk tapi aku suka sangat membuatnya sendiri kerana selepas kita goreng dan kisar atau tumbubk aromanya akan naik. Wahhhhh... sermerbak gitu.


Lumurkan rempah-rempah kisar tadi pada ayam dan peraplah dalam lebihkurang 2 jam. Selepas itu susun dia ats tray pembakar dan taburkan bawang yang dihiris gelang dan juga lemon. bakar pada suhu 200 darjah sehingga masak.




Ayam mandhy berempah ini sedap dimakan bersama nasi buryani mandy dan sila rujuk kepada resepi buryani mandhy di sini.


Sunday, May 23, 2010

Nasi Buryani Mandhy








Rasa macam dah lama tak update blog. Sejak berpindah blog ni rasa macam malas aje nak blogging. Bukan apa nak handle 3 bloog sekali, bukanlah aku ada banyak masa. Kat rumah macam-macam pulak nak dibuatnya walaupun ada yg menolong tetapi untuk mengadap depan pc ni rasa macam malas jek sejak-sejak ni. Ingatkan weekend nak kemas rumah tapi hubby ajak jalan-jalanlah pulak dengan anak-anak. Anne nak mencari walkman MP3 dia. Dah janji dengan papanya dapat no 1 akan dapat hadiah. So ipod tuh bolehlah adik yang dapat ya. Aku pulak survey handphone terlanjur ada yang dah offer nak belikan. Cuma aku tengah pikir samada nak cari yang macamana. Hubby kata beli all in 1 supaya senang katanya. Tengoklah dua tiga hari lagi nanti. Macam tak ada mood nak buat pemilihan sebab kepala aku sakit sangat masa tuh.
Lepas belikan kakak apa yang diidamkannya terus ke pasar. Apa lagi beli untuk memasak pada ahadnya. hubby kata dia nak makan buryani mandhy. Lama sungguh aku tak buat nasi ni. Adalah agaknya dalam 7-8 tahun. macam-macam yang nak dimakannya. Aku pun tak kisah dan lama dapurku tak berasap masakan yang agak special. Sebenarnya dah berapa kali hubby mention nak makan nasi ni. Ehehehee baru ni aku buat. Nasib baik dia mengidam nak makan buryani mandhy, kalau dia mengidam nak makan buryani gam parah aku!






Nasi Buryani Mandhy


4 cawan beras basmathi
5 1/2 cawan air (dari stok chicken yg dibuat sendiri lebih baik)
1 labu bawang besar dihiris halus
3 ulas bawang putih dihiris halus
halia sebesar ibu jari dihiris seperti lidi mancis
1 biji tomato yg saiz besar didadu (buang bijinya)
1/2 mangkuk kismis
3 kuntum bunga cengkeh
2 kuntum bunga lawang
1 jari kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
sedikit bunga safron (rendam dengan sedikit air mawar)
garam secukup rasa
minyak sapi secukupnya
Beras dicuci dan toskan airnya. Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan rempah penumis iaitu bunga lawang, cengkeh, kayu manis dan pelaga sehingga naik bau dengan minyak sapi. Kemudian masukkan kismis dan goreng sebentar barulah dimasukkan beras dan garam lalu kacau rata. Masukkan stok ayam dan tutup periuk. Bila nasi telah hampir tanak renjiskan safron. Gembur nasi dan biarkan tanak.
Nasi mandhy ini sedap dimakan bersama dengan ayam mandhy, salad dan raita.
Aku suka semalam tengok anak-anak makan dengan seleranya. Hilang penat memasak. Hubbypun senyum lebar.

Wednesday, May 12, 2010

Nasi Ayam Penyet




Resepi nasi ayam penyet ini aku dapat dari seorang kawan baikku. Asa resepi ini dari Indonesia. Resepi nasi ayam pula aku ikut cara membuat nasi ayam Cina kerana rasanya lebih sedap dan enak.





Nasi ayam :-





6 cawan beras basmathi
7 1/2 cawan air sup rebusan ayam
6 ulas bwang putih
halia muda sebesar ibu jari



Untuk membuat minyak ayam

5 cm halia tua diketuk
5 ulas bawang putih diketuk
lemak-lemak ayam
kulit-kulit ayam

basuh lemak dan kulit ayam kemudian masak bersama halia dan bawang tanpa air. Bila ianya telah garing dan mengeluarkan minyak, gunakan minyak itu untuk menumis nasi ayam.





Beras dicuci bersih dan toskan airnya hingga hampir kering. Kemudian goreng beras tersebut tanpa minyak dengan api sederhana. Jangan sampai hangus. Tumiskan bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan beras dan kacau kemudian tuangkan air rebusan sup ayam. tutup periuk dan biarkan ianya masak.


Ayam



1 ekor ayam dibelah 4
(boleh juga dipotong kecil-kecil jika suka)

bahan perap:-

10 ulas bawang kecil
5 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari
5 tangkai cili merah
4 cm kunyit hidup
1 camca makan ketumbar
1 camca teh jintan halus
1 camca teh jintan kasar
garam secukup rasa

Kesemua bahan perap ditumbuk halus dan lumurkan pada ayam. Perap ayam sehari semalam ataupun 2 jam. Goreng ayam dengan api sederhana. Bila menghidang penyetkan ayam dengan menggunakan ulek.



Sup Untuk Kuah Ayam



4 cm halia tua diketuk
3 ulas bwang putih ditumbuk
Tulang-tulang ayam
1 kuib ayam

Rebus kesemua bahan ini dan perasakan sedikit garam. Bila telah mendidih masukkan daun bawang dan daun saderi.


Sambal Untuk Ayam Penyet :-



8 tangkai lada merah
8 tangkai lada hijau
10 tangkai cili padi
4 labu bawang merah
5 ulas bawang putih
Belacan sebesar telur ayam kampung
5 butir tomato


Kesemua bahan ini digoreng sehingga layu. Kemudian kisar bahan-bahan ini dan goreng semula dengan menggunakan minyak tadi.



Bahan-bahan Ulam :-




Seikat ulam raja







Setengah kobis diracik halus




Daun sup dan daun bawang




10 keping tauhu dibelah dua dan digoreng garing



10 keping tauhu dibelah 3 dan digoreng garing

















Thursday, April 15, 2010

Ikan Patin Masak Gulai Asam Rebus Dengan Belimbing




Assalamualaikum......
Semua orang tau akan keenakkan daging ikan patin ini. Kalau kita beli di pasar misalnya, rasa ikan patin ini jauh berbeza dengan ikan patin yang ditangkap sendiri di sungai. Sebenarnya resepi ni dah lama aku buat tetapi cuma masa saja tidak mengizinkan untuk dimuatkan disini.
Ikan patin ini aku dapatkannya melalui kiriman dari Abang Kadir, ipar kepada birasku yang tinggal di Mersing. beliau gemar sekali pergi memancing di Kuala Sungai Endau Rompin dan hasil yangditangkapnya sangat-sangatlah lumayan. Hobbynya memang memancing dan berburu ayam hutan.
Ikan Patin ini aku cuba masak asam rebus dengan belimbing buluh dan rasanya memang sedap sekali.
1 ekor ikan patin
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
halia sebesar ibu jari
kunyit sebesar jari kelengking
Kesemua bahan ini ditumbuk halus
Masukkan kesemua bahan-bahan tumbuk ke dalam periuk dan bubuh air. Bila kuah hampir mendidih masukkan asam jawa dan sekeping asam gelugur bersama-sama ikan. Bila kuah mendidih masukkan buah belimbing yang dibelah dua bersama-sama dengan secekak daun kesum. Siap untuk dihidang.

Tuesday, April 6, 2010

Mashed potato buatan sendiri

Salam semua....... bila tanya anak-anak suka tak makan mashed potato.....tak ada yang cakap tak suka....kalau boleh hari-hari nak makan..... Kita yang tua ni pun suka sangat dengan makanan macam ni. Apa kata kalau kita lepas buat roast chicken, minyak-minyak yang meleleh dari ayam itu jangan dibuang. Itulah yang digunakan untuk membuat gravy bagi kentang lenyek. Mudah saja cara membuatnya. Oh ya semasa kita membuat roast chicken, kepala ayam, kaki dan leher ayam yang kita kerat itu kita rebuskan saja dan simpan sebentar air rebusan itu kerana ia boleh dijadikan stok untuk gravy mashed potato.



Lebihan minyak dan jus yang keluar dari ayam semasa kita membakarnya kita kumpulkan


Bubuh di dalam jug dan disini kita dapat lihat antara minyak dan jus ayam itu terpisah



Panaskan periuk dan cairkan butter kemudian masukkan minyak ayam roast tadi. Bila hampir mendidih masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga agak pekat dan berwarna kecoklatan tetapi jangan sampai hangus, kemudian kita tuangkan jus ayam roast pula. Kacau jangan berhenti. Bila rasa agak pekat kita tuangkan air rebusan ayam secukupnya. Kacau lagi dan bila kuah memekat baru matikan api.



Inilah gravy untuk mashed potato dan boleh juga digunakan untuk ayam roast





Tuang ke atas kentang yang sudah dilenyak. Kentang jenis russet paling baik untuk membuat mashed potato. Kita hanya potong dua kentang tersebut dan rebuskannya bersama garam. Apabila telah empuk toskan airnya dan kemudian masukkan semula ke dalam periuk, panaskan dengan api kecil dan lenyekkannya sehingga hancur, tuangkan sedikit butter dan susu segar serta sedikit oregano. Gaul rata dan matikan api.

Herb Stuffing Roast Chicken







Memasak makanan kegemaran keluarga adalah satu kebahagiaan buat seorang ibu apabila anak-anak amat menghargainya. Hilang segala lelah dan penat apabila hidangan yang dihidangkan dapat dinikmati sepuasnya oleh keluarga tersayang..... dan itu adalah hadiah yang amat berharga bagi seorang ibu.

Ayam roast bersama mashed potato merupakan hidangan kegemaran kedua anakku dan suami serta ibuku. Dua ekor ayam sekali makan sudah cukup mengenyangkan mereka. Akupun suka masak masakan ini kerana mudah dan menjimatkan tenaga.












Pelbagai roast chicken yang boleh kita cuba untuk keluarga tersayang dan pelbagai jenis yang telah aku cuba. Disini aku ingin berkongsi dengan rakan-rakan, Roast Chicken yang amat mudah dan ringkas.






Herb Stuffing Roast Chicken









1 sudu besar thyme
1 sudu besar oregano
1 sudu besar sage
1 sudu besar black pepper
garam secukupnya
susu segar secukupnya
roti secukupnya
butter secukupnya

Butter yang telah dicairkan secukupnya (campur kesemua bahan ini didalam butter yang telah dicairkan dan tuang susu segar)


Masukkan roti sehingga bahan ini menyerap dan lipat 4 roti tersebut



Sumbatkan roti ke dalam perut ayam yang telah dicuci dan dilap dengan kitchen towel lalu dijahit kemas



lebihan herba tadi kita masukkan ke dalam kulit ayam keseluruhannya bersama beberapa ulas bawang putih. perap selama 1 jam

Ayam yang telah disumbat dengan roti hendaklah dijahit kemas dan diikat kaki dan kepaknya bakar sehingga ayam masak



Hidangkan ayam bersama sayur-sayuran dan tuangkan gravy keatas ayam



Ayam roast ini sedap dihidangkan bersama mashed potato dan sayuran dan hidangkan panas-panas untuk dinikmati bersama keluarga tersayang


Thursday, April 1, 2010

Anugerah Allah ....Alessya Sofea

Anugerah Allah .... Alessya Sofea

Masalah pembuangan bayi, masalah penderaan seksual dan penderaan fizikal kanak-kanak semakin berleluasa di negara kita hari ini. Saban hari kita mendengar berita yang sangat menyayat hati dan menyedihkan itu. Masalah ibu tunggal yang ditinggal suami ataupun melahirkan anak tidak sah taraf juga semakin beleluasa.
Baru-baru ini kita mendengar bagaimana seorang ibu kehilangan anak gara-gara dibunuh dan diseksa oleh teman lelakinya sendiri. Sejauh mana tindakan dan peranan kita sebagai masyarakat dalam membendung kes-kes seperti ini. Nampaknya pihak atasan lebih berminat dalam bab pergolakan politik dari membendung gejala yang semakin membimbangkan ini.
Saban hari aku, suami dan teman-teman sekerja asyik membincangkan hal-hal sebegini dengan perasaan marah dan meluat. Jauh di sudut hati berdoa agar semua ini akan selesai segera dan negara akan aman seperti hari-hari kanak-kanakku yang penuh keriangan dan kegembiraan. Aku berdoa agar semua kanak-kanak di dunia ini akan hidup seperti waktu kita dulu-dulu walaupun jauh dari kemewahan dan kemodenan.
Kurniaan Allah hanya Allah saja yang berhak memberi kepada sesiapa hambanya yang dikehendakinya. Bila anak-anak mulai meningkat usia, aku dan suami terasa kerinduan pada tangisan dan kerenah anak kecil. Untuk mendapatkan anak lagi..... adalah mustahil dengan keadaan kesihatanku kini. Maha suci Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan dari hambaNya..............
Pulang dari outstation hubby memberitahu ada seorang ibu tunggal hendak memberikan anaknya yang berusia 5 tahun kepada sesiapa yang berminat untuk dipelihara. Ya Allah bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Aku melihat suami wajahnya ceria dan aku tanpa memikir apa-apa bersetuju 100% untuk menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak peliharaanku. Kami berbincang semula bersama mertua, ibuku, abang kakak disebelah kedua-dua belah pihak dan ibu mertuaku dan ibuku sangat bersetuju demi masa depan anak kecil ini. Ada sedikit rasa tidak setuju di sebelah adik beradik suamiku namun hanya seorang saja dan akhirnya terpaksa dia akur juga dengan kehendak kami. Pada mulanya anak-anakku seakan tidak bersetuju. Si kakak dengan muka masam membantah dan si Adik menangis teresak-esak sehingga tertidur tidak mahu.
Selepas menghantar kakak ke tution kami segera ke rumah pengasuh yang menjaga kanak-kanak itu dan berunding, namun kata pengasuh kanak-kanak itu sehingga kini dia masih belum dapat menghubungi ibu kanak-kanak itu. Rupa-rupanya pengasuh kanak-kanak itu adalah merupakan ibu saudaranya sendiri. Syukurlah bukan orang lain juga. Aku meminta izin untuk membawa kanak-kanak itu ke rumah ku sehingga hujung minggu ini untuk berkenal mesra dengan keluarga kami. Syukur kerana ibu saudaranya membenarkan dan kami berbincang untuk menghubungi ibunya untuk kami pelihara anak ini menjadi anak kami.
Bila pulang dari tution, anakku yang sulung si kakak nampaknya suka dan sayang kepada kanak-kanak ini begitu juga dengan anakku yang lelaki. Alhamdulillah aku memanjatkan syukur kepada Allah. Ku bawa kanak-kanak ini ke rumah mertuaku, berjumpa dengan keluarga sebelah suamiku dan mertuaku juga kelihatan gembira, begitu juga dari sebelah pihakku. Riuh sekampung aku dengan kegembiraanku ini.
Pagi tadi aku segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan aku mahu mengetahui cara bagaimana mengambil hak penjagaan anak angkat. Lega hatiku dengan segala keterangan yang diberi. Rupanya cetek sungguh pengetahuanku tentang ini. Pada awalnya aku bercadang untuk mengambil anak ini dan memutuskan hubungan terus ibunya dan anaknya kerana aku bimbang nanti dia akan mengambil semula anaknya nanti dan aku pasti akan kehilangan kanak-kanak ini. Atas nasihat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, aku tidak berhak membuat begitu kerana hubungan antara ibu dan anak kandung tidak boleh diputuskan dan hukumnya berdosa besar. Insaf aku dengan nasihat pegawai yang bertugas.
Lantaran itu aku membuat keputusan untuk mengambil juga kanak-kanak ini sebagai anak peliharaanku dan membenarkan ibunya berjumpa dengan kanak-kanak ini kerana hubungan antara ibu kandung dan anak sampai ke akhirat, jadi aku cuma menjadi ibu peliharaan baginya saja dan segala makan pakai, persekolahan, perubatan, keselamatan dan segalanya adalah di dalam tanggunganku dan ku anggap semua ini adalah amal jariah ku kepada ibu tunggal itu dan jika diiizinkan aku memeliharanya ibunya boleh datang pada bila-bila masa menjengoknya. Kasih ibu sampai ke syurga kasih ibu kandung di dunia saja dan aku kena akur dengan fitrah ini. Cuma aku memohon pada Allah aku diberi kekuatan dan ketabahan dalam memelihara kanak-kanak ini dengan penuh kasih sayang dan keimanan.
Hadirnya Alessya Sofea dalam keluarga kami adalah satu anugerah yang tak terhingga bagiku, suami dan anak-anakku. Semoga Allah memberi keizinan untuk aku memelihara anak kecil ini dengan penuh kasih sayang jiwa dan ragaku. Amin...........

Tuesday, March 23, 2010

Red velvet Cake



Salam penuh kasih sayang kepada semua...................


Sepertimana pada birthday hubby yang lalu aku telah membuat sebiji kek. Kek ini kek biasa2 saja dan dikenali dengan nama Red Velvet Cake oleh kerana warnanya yang merah. Kek ini sangat terkenal di Selatan Amerika Syarikat. Pada birthday hubby yang lalu aku telah menukarkan warna merah kepada warna hijau dan jadilah Green Velvet Kek. eheheheh....... apapun rasa dan cara pembuatanya sama saja. Kek ini sanga digemari oleh anak2ku san seisi rumah dan akupun suka membuatnya kerana ianya mudah selain dari membuat Moist Chocolate Cake. bahan2 membuat kek ini memang telah sedia ada di rumah so senanglah bagi aku untuk membuatnya.

Resepinya mudah dan ringkas.


Red Velvet Cake

Bahan2nya :-

Untuk Kek


Bahan A

300gm tepung kek atau
300 gm tepung serbaguna dicampur bersama 2 sudu besar tepung jagung dan soda bikarbonat
1 sudu kecil garam
2 sudu @ 20gm besar tepung koko

Bahan B

120gm butter
300 gula castor
2 biji telur gred A
1 sudu kecil vanilla


Bahan C

Cara menyediakan buttermilk



240ml susu cair atau susu segar atau susu tepung
1 sudu besar cuka
2 sudu besar @ 38ml pewarna merah

Kacau kesemua bahan ini sehingga rata.

Bahan D


1 sudu besar cuka
1 sudu besar baking soda

Cara membuatnya :-

Pukul butter selama 2 minit kemudian masukkan gula castor dan pukul lagi selama 3 minit. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan akhir sekali masukkan vanilla. Putar dengan kadar perlahan. Mulakan dengan memasukkan tepung dan diselangseli dengan buttermilk, diakhiri dengan memasukkan tepung juga.

Campur kedua bahan ini dan apabila kedua bahan ini disatukan ianya akan berbuih dan apabila buih habis segara curah ke dalam adunan tadi dan gaul rata.



Bubuh adunan ke dalam 2 loyang empatsegi dan bakar pada suhu 175 darjah C.



Apabila kek telah sejuk bubuh di atas radai dan sapukan buttercream ke atas permukaan kek yang pertama kemudian tindihkan sebiji kek lagi ke atas kek yang telah ditopping. Akhir sekali topping keseluruhan kek dan taburkan dengan apa jua hiasan yang digemari. Simpan dalam peti ais untuk disejukkan sebentar.

Untuk topping

Topping buttercream


250 gm butter
sugar syrup secukupnya
Sedikit vanilla essence
Sedikit susu segar jika adunan terlalu kental

Kacau bahan2 diatas ini dan tambah susu jika adunan terlalu kental. kacau sehingga hampir putih atau putih betul.


Red Velvet Kek hidangan untuk keluarga tersayang





















































Saturday, March 20, 2010

BIRTHDAY ZUL

Selamat panjang umur papa....................


Papa bersama anak2 tersayang....


Selamat Hari Ulang Tahun kepada papa............





Semoga Papa beroleh Rahmat dan dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda. Semoga Allah panjangkan usia papa di dalam sejahtera dan penuh keberkatan. Kami semua sayang dan kasih pada Papa......




Sejoreng kek tanda ingatan kepada sahabatku kak Nor64, saudaraku Abang Ali yg bertugas di Riyadh (Semoga cepat bertemu jodoh, saudaraku Anuar dan Nora...aku doakan kalian semua beroleh rahmat dan sejahtera serta dipanjangkan usia dan berlipat kali ganda rezeki....aminnn.....



kek khas dari mama untuk papa (Green Velvet Cake) I Love U papa



Sempena hari ulang tahun papa kali ini kami bercadang untuk tidak makan di luar, aku telah menyediakan sebuku green velvet cake untuk papa yang bertoppingkan buttermilk dan chocolate rice kesukaan dan kegemaran papa.




Hidangan tengahari nasi lemak kukus, ayam goreng berempah, bilis goreng, sambal sotong, telur rebus dan mentimun

Pada tengahari papa nak makan nasi lemak kukus ala Johor, kata Papa lama dia tak makan nasi lemak Johor dengan ayam berempah ni. Maklumlah mertua dah tak larat nak mengukus nasi lagi. So untuk tidak menghampakan papa, maka akupun buatlah dalam 6 pot tin susu untuk makan tengahari itu.





Manakala pada sebelah malamnya pula kami sekeluarga makan western pulak. Atas permintaan papa dan anak2 yang nak makan roast chicken dan mashed potato serta pai kentang inti sardin buatan sendiri. Ehehehehe......enjoy betul papa dan anak2 makan ...... Alhamdulillah berjaya juga aku masakan masakan kegemaran papa dan anak2.




Semua resepi ini nanti akan aku N3kan kemudian ya.....

Wednesday, March 17, 2010

Salam Penuh Kasih Sayang dan Apple Pie





Salam Penuh Kasih Sayang dan Apple Pie

Assalamualaikum, this is the first day of my new blog. Welcome and I hope you'll enjoy my day to day thoughts as they unfold each time I write. Hopefully it will be entertaining and fun. Kepada semua sahabat dan pengunjung yang tertanya2 kenapa aku lama tak update blog Tulipkasih. Sebenarnya blog Tulipkasih sudah terlalu penuh dan sekarang aku mulai blog resepi secara berasingan antara resepi2 yang beraneka dan aku kini telah punya blog khas resepi Johor dan sedikit informasi mengenai Johor dan sejarah serta kaitannya. Jika ingin melihat dan mencuba resepi masakan warisan Johor anda bolehlah berkunjung ke {sini}. Di sana terdapat pelbagai resepi Johor yang lama dan baru.
Sebagai sumbangan resepi aku yang pertama, aku telah mecuba membuat Apple Pie yang mana resepinya aku cedok dari Chef di alam maya yang juga menjadi sahabat baikku untuk aku berkongsi segala ilmu masak -memasak dan juga hobbyku iaitu mengumpul pinggan mangkuk antik. Beliau merupakan anak Johor juga dan mempunyai minat yang sama sepertiku di dalam dunia masakan dan antik.
Untuk melihat lebih detail lagi silalah berkunjung ke blog Tiffinbiru beliau iaitu Cik Mat Gebu {di sini}
Resepi Apple Pie



Bahan2nya:


Untuk Inti :


6 biji apple hijau (kupas kulit dan potong 12 setiap sebiji)
200gm gula pasir
50 gm kismis
20gm tepung jagung (Bancuh dengan sedikit air)
Sedkit serbuk kulit kayu manis (jika suka dan lagi sedap)



Masak gula pasir hingga cair dan perang. Masukkan apple dan kismis. Gaul rata. Masukkan bancuhan tepung jagung. Masak hingga pekat dan sejukkan. Boleh dibubuh seidkit serbuk kulit kayu manis.


Untuk Doh :

500gm tepung gandum
200 gm butter
2 biji telur gred A (kacau sedikit)
250 gm gula halus (saya masukkan cuma 200gm gula sahaja)
Air secukupnya


Ayak tepung dan gaulkan dengan gula halus hingga rata. Masukkan butter dan gaul sehingga menjadi seakan serbuk roti. Tuang telur yang telah dikacau sedikit demi sedikit sambil digaul sehingga sebati dan air. Gaul dan uli rata sehingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan. Bungkus dengan plastik dan sejukkan 30 minit. Selepas 30 minit keuarkan dan biar sebentar. canai doh setebal 1/2 cm. Tutupkan ke dalam mangkuk pie dan tuang inti yang telah disejukkan. Tutup balik pie dengan doh. Sapu kuning telur dan bakar 175 darjah C sehingga masak.

Sembang Kenal